Search This Blog

Dec 19, 2017

Penyusuan susu ibu yang terbaik buat bayi dan ibu

Selepas melahirkan bayi, perasan tak bila bayi dah dipotong tali pusat bayi akan diletakkan di atas dada ibu selama beberapa minit hingga ke satu jam. Cara ini dinamakan sentuhan kulit bayi ke kulit ibu. Kaedah ini dilakukan untuk mengelakkan bayi berasa kesejukkan dan berada dalam keadaan tenang. Selain itu, ia juga menggalakkan hubungan ibu dan bayi untuk membantu memulakan penyusuan.

Dengan cara sentuhan kulit bayi ke kulit ibu ini juga dapat membantu bayi memahami bahawa payudara ibu adalah tempat yang selamat dan dapat membantu bayi menyesuaikan metabolisma dan mestabilkan glukosa darahnya.

Penyusuan ibu yang terbaik buat bayi dan ibu

Menyusu bayi dengan susu ibu merupakan langkah penting ke arah pertumbuhan dan perkembangan bayi yang sihat. Susu ibu adalah bersih, seimbang dan paling sesuai untuk bayi. Ia mengandungi semua khasiat yang diperlukan oleh bayi puan untuk hari-hari pertama selepas dilahirkan. Bagi ibu pula, pastikan ibu mengamalkan makan secara sihat selepas bersalin untuk kebaikan bayi dan ibu.

Kepentingan penyusuan ibu

Kepada ibu
  • Ia membantu mempercepatkan pengecutan rahim selepas bersalin dan mengurangkan risiko pendarahan yang berlebihan
  • Melewatkan kedatangan haid dan membantu menjarakkan kehamilan
  • Membakar lemak badan yang terkumpul semasa mengandung dan dapat mengembalikan badan kebentuk asal
  • Dapat mebgurangkan risiko kanser payudara dan beberapa jenis kanser ovari
  • Dapat mengurangkan risiko keretakan tulang pinggul apabila meningkat usia.
Kepada bayi
  • Susu ibu mengandungi zat yang lengkap, mudah dihadam dan sentiasa berubah mengikut pertumbuhan dan perkembangan bayi
  • Susu ibu dapat mengurangkan risiko alahan dan keadaan seperti diabetes di kalangan bayi dalam keluarga yang mempunyai sejarah masalah ini
  • Susu ibu melancarkan sistem badan yang membantu mengawal tekanan darah dan mengurangkan risiko obesiti pada masa akan datang
  • Susu ibu mengurangkan risiko pencemaran yang mungkin boleh berlaku dalam kaedah penyusuan lain
  • Susu ibu dapat diberikan terus kepada bayi pada bila-bila masa tanpa sebarang persediaan bancuhan
  • Menyusukan bayi dengan susu ibu memberikan keselesaan dan ketengangan emosi diperlukan oleh bayi.

Risiko bayi yang tidak diberi susu ibu

Bayi yang tidak mendapat susu ibu dari awal kelahirannya berisiko mendapat jangkitan dan pembengkakkan pada usus (Necrotising enterocolitis) yang mana selalunya terjadi kepada bayi yang dilahirkan pramatang. Ramai bayi yang selamat dan hidup sihat namun jika ia menjadi parah, dapat menyebabkan kerosakkan pada usus yang akan menyebabkan kematian.

Selain daripada itu, risiko lain yang akan bayi alami seperti 
  • Mendapat jangkitan kuman pada saluran pernafasan seperti batuk dan selsema, jangkitan pada usus seperti cirit birit dan jangkitan pada saluran kencing. 
  • Alahan pada kulit seperti eczema dan atopic.
  • Tahap perkembangan dan pencapaian pendidikan yang agak rendah
  • Mendapat jangkitan telinga (otitis media)
  • Obesiti diusia kanak-kanak
  • Mengalami Juvenile onset insulin dependant diabetes mellitus di kalangan keluarga yang mempunyai masalah ini
  • Berisiko mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung pada usia yang lebih muda
  • Kematian bayi dan kanak-kanak di usia muda.
Walaupun begitu, kita tahu tidak semua ibu dapat menyusukan bayi mereka sendiri atas sebab sebab tertentu. Tetapi sekarang ni ada altenatif yang boleh di lakukan iaitu dengan mencari ibu susuan untuk menyusukan bayi selain terus memberikan susu formula kepada bayi.

1 comment: