Bakal ibu atau ibu yang dah pernah bersalin mesti dah tahu kan, penyusuan bayi sangat penting dari awal kelahiran sehingga berusia 6 bulan. Kecuali ibu ada masalah tertentu atau memang air susu tidak mahu keluar. Susu ibu membekalkan kesemua nutrien dan air yang diperlukan oleh bayi untuk membesar dan berkembang dalam masa 6 bulan pertama. 6 bulan pertama usia bayi bermaksud sehingga akhir 6 bulan atau 28 minggu atau 180 hari (bukan permulaan umur 6 bulan).
Penyusuan selama 6 bulan ini tanpa memberi sebarang makanan lain kepada bayi. Selepas 6 bulan barulah bayi boleh diberi makanan pelengkap selain susu ibu. Walaupun begitu penyusuan susu ibu harus diteruskan sehingga bayi berusia 2 tahun. Susu ibu penting kerana membekalkan 1/3 hingga 1/2 daripada keperluan kalori bayi anda pada usia 12 bulan.
Kandungan air dalam susu ibu
Susu ibu kaya dengan air iaitu 88% daripadanya adalah air. Bayi pula tidak memerlukan air tambahan walaupun dalam keadaan cuaca panas. Susu ibu tidak membebankan buah pinggang bayi. Pemberian air kosong kepada bayi bawah 6 bulan adalah tidak bagus untuk bayi itu sendiri selain ia boleh mengganggu penghasilan susu ibu. Cukup hanya beri susu ibu sahaja kepada bayi.
Pentingnya Posisi dan Pelekapan yang baik
Tahu tak keistimewaan bagi seorang ibu yang menyusukan bayinya sendiri. Selain mendapat pahala yang semua muslim tau, menyusukan bayi juga dapat membantu ibu merehatkan badan seketika. Tapi ada ibu merungut kalau bayi terlalu lama menyusu akan menyebabkan ibu penat kerana duduk terlalu lama dan ada sehingga kebas kaki. Bagi mengatasi masalah ini, sangat disarankan untuk ibu mencari posisi yang sesuai dan selesa sebelum memulakan penyusuan bayi.
Posisi Ibu
Ibu mesti dalam keadaan selesa dan bahagian belakang,kaki dan payudara anda diampu (jika perlu).
Posisi Bayi
Badan bayi lurus dan rapat ke badan ibu, menghadap payudara, hidung setentang puting (bayi dibawa ke arah payudara ibu bukan sebaliknya)
Cara pelekapan semasa penyusuan
Bagi seorang ibu yang pernah menyusukan bayi pernah kan mengalami puting payudara luka ketika menyusukan bayi. Bagi yang pertama kali jadi ibu mungkin anda akan mengalami dan mungkin tidak. Bila kita ajukan persoalan kepada jururawat atau doktor mengapa puting jadi luka pastinya jururawat atau doktor akan mengatakan bahawa cara kita menyusukan bayi salah, walaupun kita dah rasa betul. Jadi bagaimana yang dikatakan penyusuan yang betul dan salah ini.
Cara pelekapan yang betul dan tidak |
Pelekapan yang betul
- Mulut bayi terbuka luas
- Bibir bawah bayi melengkup keluar
- Dagunya mencecah payudara
Pelekapan yang salah
- Mulut bayi tidak terbuka luas
- Dagu bayi tidak menyentuh payudara
- Lebih banyak areola kelihatan di bahagian bawah mulut bayi (atau sama banyak di bahagian atas atau bawah mulut bayi)
Apabila puting luka disebabkan pelekapan yang tidak betul kerana bayi hanya menghisap daripada puting payudara, betulkan posisi dan pelekapan penyusuan supaya bayi menghidap dari areola. Ibu juga boleh sapukan sedikit susu ibu pada puting yang sakit selepas penyusuan. Selain itu, dengan meletakkan kain panas pada payudara sebelum penyusuan untuk menggalakkan pengaliran susu.
Lebih elok untuk beri bayi menghisap daripada payudara yang tidak sakit terlebih dahulu. Jika bayi tertidur sewaktu menyusukan, alihkan bayi secara perlahan-lahan. Mencuci puting sekali sehari adalah lebih baik bukannya mencucu setiap kali penyusuan. Ibu ibu harus waspada, elakkan mencuci puting menggunakan sabun kerana ia akan menghilangkan pelembab semulajadi pada payudara.
Kepada bakal ibu, ingatlah elakkan daripada menghadkan bilangan dan tempoh penyusuan kepada bayi. Ini bagi mengelakkan gangguan penyusuan bayi secara eksklusif. Ada juga bayi yang diberi puting tiruan terlalu kerap akan menolak penyusuan terus dari payudara, ini juga boleh mengganggu penghasilan air susu dan penyusuan terus kepada bayi. Jika ingin diberi juga puting tiruan, carilah puting yang seakan akan puting ibu dan selesa untuk bayi.
Seorang ibu juga harus menjaga emosi dalam tempoh menyusukan bayi. Ini kerana apabila emosi ibu terganggu seperti kemurungan, tertekan, stress, secara tidak langsung ia akan membantutkan pengeluaran susu ibu. Ketika ini jika ibu mengambil seberapa banyak makanan tambahan pun belum tentu ianya akan berjaya menghasilkan susu. Jadikan aktiviti penyusuan bayi sesuatu yang menyeronokkan dan mengembirakan.
Info yang lengkap..memang sgt membantu bagi ibu yang baru terjebak masuk ke dunia penyusuan :)
ReplyDelete