Search This Blog

Dec 11, 2016

HIKAYAT PAK SALOI BAHAGIAN IV

Pak Saloi semakin risau dan berlegar-legar di situ sambil memujuk najisnya. Dia masih lagi merayu dan memujuk agar najisnya segera keluar dari tempat tidur itu . Dalam keadaan yang demikisn, Mak Saloi pun terjaga. Dia menyangka pak Saloi sedang mengigau dan sedang bercakap dalam tidurnya, lalu dia pun membuka mata. Dilihat Pak Saloi sedang sibuk merayu najisnya keluar dari situ, mak Saloi pun meraba badan suaminya sambil berkata, "Apa yang abang cakapkan sorang-sorang ni? Tidurlah... kan hari masih malam, jangan mengigau lagi. Itulah abang... nak masuk tidur tak mahu basuh kaki dahulu.

Pak Saloi mendiamkan diri sahaja, berpura-pura tidur. Mak Saloi berkata lagi, kali ini agak kasar sedikit kerana matanya mengantuk dan suaminya membuat bising, mengganggunya," Sudahlah... Tidurlah tu... Jangan nak memekak sahaja malam-malam buta ni."

Pak Saloi terus sahaja mendiamkan diri apabila ditegur oleh isterinya. Dia berpura-pura tidur dan berdengkur sedikit-sedikit, tujuannya supaya mak Saloi kembali tidur agar dia dapat meneruskan kerjanya mengusir najisnya keluar dari bilik itu. Oleh sebab Pak Saloi terlalu mengantuk dan hampir semalam-malaman itu dia tidak dapat tidur, Pak Saloi pun terus terlena hingga ke siang.

Apabila hari sudah siang Mak Saloi pun bangun daripada tidurnya. Dilihatnya Pak Saloi masih tidur dan berdengkur lalu di biarkan sahaja. Pada fikirannyaa suaminya tentu masih mengantuk kerana diganggu oleh igaunya semalaman itu. Setelah bangun Mak Saloi sangat terperanjat kerana dilihatnya emping bertaburan di sisi suaminya. Dia menyangka tentulah emping itu tertumpah dilanggar kucing kerana bakul emping itu tidak jauh dari situ. Mak Saloi mengambil bakul itu lalu dikutipnya emping yang bertaburan di atas lantai sambil berkata "Kuuuuurr semangat emping... mengapakah engkau bertaburan begini?."

Semasa Mak Saloi mengutip emping dan memasukkannnya ke dalam bakul dia tercium bau busuk. Dia menyangka bau itu adalah bau emping yang sudah 'buruk', yakni busuk dan rosak disebabkan sudah terlalu lama disimpan. Kalau sudah busuk buat apa disimpan lagi, sudah tidak boleh dimakan. Mak Saloi pun terus membuangkan semua emping yang dikutipnya itu ke tanah dan terus dimakan oleh ayam. Memikirkan semua empingnya sudah busuk, Mak Saloi pun terus kedapur dan mengambil semua emping yang tersimpan di dalam upih dan sumpit lalu dibuangkan ketanah. Berebut-rebutlah ayamnya makan emping itu.

Apabila matahari sudah sepenggalah tingginya barulah Pak Saloi terbangun. Ketika itu Mak Saloi sudah tidak ada lagi di rumah, dia sudah berada di kebun menanam sayur-sayuran dan membersihkan kebunnya itu. Pak Saloi memerhatikan najisnya semalam, didapati najisnya itu sudah tiada lagi. Dia pun berfikir dalam hatinya, "Oh, rupa-rupanya pergi juga engkau setelah puas aku pujuk ya, Rupanya engkau hendakkan upah dulu baru kau mahi pergi."

Pak Saloi menjenguk ke luar tingkap didapatinya hari sudah siang benar, matahari sudah tinggi dan orang-orang kampung sudah pergi kekebun masing-masing. Pak Saloi pun memanggil isterinya beberapa kali tetapi tidak ada jawapan. Pak Saloi masih terasa mengantuk dan letih ingin sahaja terus menyambung tidurnya tetapi perutnya sudah mulai berasa lapar. Maka Pak Saloi pun bergegas pergi kedapur untuk mencari sarapan tetapi semuanya sudah tidak ada. Dicarinya eming yang masih tersimpan di dalam upih dan sumpit rotan di rak pun semuanya sudah tidak ada. Upih dan bakul serta sumpit rotan itu semuanya kosong belaka. Pak Saloi berasa sungguh hampa dan perytnya juga sungguh lapar. Pak Saloi pun mengeluh kehampaan, "Hai.... sampai hati engkau najis... engkau habiskan semua emping aku... tak kasihan sedikit pun rupanya engkau pada aku, ya.. ? Begitu lama kau duduk dalam perut aku bila keluar begitu balasan engkau pada aku..."

Pak Saloi pun duduk ditangga rumahnya sambil termenung dan berfikir, fikirannya tidak lain untuk mendapatkan sarapan sahaja kerana perutnya sudah berkerincing. Mahu tidak mahu Pak Saloi terpaksa juga duduk di situ menunggu isterinya pulak untuk memasak makanan tengah hari....
========================================================================

Sebenarnya cerita ini tidak tamat disini, panjang lagi ceritanya tapi dah lama baca buku ni dah lupa jalan cerita yang lain. kalau kalau ada sesiapa yang pernah membaca atau masih ada simpan buku ini boleh kongsikan dengan saya....



No comments:

Post a Comment