Search This Blog

Aug 4, 2017

KENAPA REZEKI KITA SEMPIT

Ada tiga sebab menyebabkan rezeki menjadi sempit.

Pertama, tidak memberikan sedikit rezekinya untuk dikongsikan dengan ibu bapa. 
Kedua, lokek untuk bersedekah. 
Ketiga, mengabaikan zakat.

Orang yang lokek dengan ibu bapa, sehingga menyebabkan kehidupan ibu bapanya menjadi sempit, maka amat wajar hidupnya dan rezekinya disempitkan Allah SWT. 
Ini kerana, Islam menggariskan bahawa ibu bapa itu menjadi sebahagian daripada kewajipan si anak untuk menafkahi mereka. Misalnya, jika mereka tiada makanan, maka diberikan makanan. Jika mereka tiada tempat tinggal, maka wajib disediakan. Jika tiada pakaian, wajib diberikan.
“Reda Allah bergantung kepada reda ibu dan bapa dan murka Allah bergantung kepada murka kedua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Ada satu kisah dimana ada seorang anak yang saban bulan memberikan elaun sebanyak RM500 kepada ibu bapanya. Apabila si anak itu membeli sebuah rumah, dia memberitahu kepada ibu bapanya, bahawa dia tidak lagi mampu memberikan RM500 sebulan dan hanya mampu memberikan RM200 sebulan. Ibu bapanya tidak membantah. Mulai bulan berikutnya, si anak hanya memberikan RM200 sebulan. Namun, perkiraannya bahawa dengan mengurangkan pemberian kepada ibu bapanya dapat melegakan perbelanjaan bulanannya tidak pula menjadi nyata. Apa yang nyata, dia merasa kesempitan dan ketidak cukupan. Akhirnya, dia kembali memberikan RM500 kepada ibu bapanya. “

Ingatlah, bukan kita yang menentukan cukup atau tidak sebuah pendapatan. Semuanya tergantung kepada Allah SWT, Tuhan yang menurunkan rezeki dan Tuhan yang mampu menghalangi.
Kisah kedua pula:

 “Seorang usahawan telah berjaya dan menjadi kaya. Namun, dalam sekelip mata perniagannya merudum. Dia menjadi kelam-kabut. Satu projek pun tidak sangkut. Dalam keluh-kesah dilanda kemelut, dia membawa dirinya ke sebuah kawasan sunyi. Dia mahu merenung diri. Akhirnya, atas kehendak Allah SWT, seorang teman berjaya menjejakinya dan mengajak si lelaki menemui seorang ustaz. Atas nasihat si ustaz, lelaki yang sudah hampir muflis itu mulai menyedekahkan saki-baki hartanya. Dia mencari anak-anak yatim dan memberikan mereka makan. Atas kehendak Allah SWT juga, minggu hadapannya si lelaki itu menerima panggilan telefon. Dia diberikan projek bernilai RM100 ribu, tanpa perlu masuk tender walaupun satu. Dua minggu berikutnya, dia diberikan sekali lagi sebuah projek bernilai dua kali ganda. Mulai saat itu, si lelaki berkenaan terus istiqamah bersedekah.”

Ini pula kisah ketiga: 

“Seorang lelaki cina, dia belum Islam. Namun, saban tahun si cina ini menemui seorang ustaz untuk memberikan zakat. Si ustaz awalnya merasa pelik, bagaimana mungkin si non muslim mahu berzakat. Lelaki cina itu berkeras, dia mendakwa, semuanya gara-gara dia terdengar sebuah ceramah dari sebuah masjid. Dalam ceramah itu, Allah SWT menjamin rezeki dan harta orang yang berzakat. Sejak itu, dia pun mulai memberikan zakat hartanya. Hasilnya, perniagaannya terus berkembang. Atas sebab itulah, dia akan memastikan zakat hartanya akan tetap ditunaikan.”

Kesimpulannya amat mudah, dengar, percaya dan beramal. Itu sahaja. Jika si cina non-muslim itu pun meyakininya, maka apa lagi alasan kita untuk meragui. 


No comments:

Post a Comment